Siaran Langsung Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor Pada 23 Mac 2015

Ahad, 22 Mac 2015

Wawancara khas bersama Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar: SAYA BUKAN PENIAGA - Berita Harian (22 Mac 2015)

SEMPENA Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar esok, akhbar kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) diberi kesempatan menemubual baginda. Pelbagai soalan dikemukakan, termasuk beberapa isu di Johor. Antaranya projek pembangunan Resort City yang dikatakan menjejaskan alam sekitar dan bantahan penduduk.

Ketika kesibukan persiapan upacara Kemahkotaan, Sultan Ibrahim, bukan saja meluangkan masa hampir dua jam di Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersama wakil NSTP, malah berterus terang menjawab pelbagai soalan, termasuk dakwaan kononnya baginda aktif sebagai ahli perniagaan.

Sejurus selesai sesi temu bual, Sultan Ibrahim mengajak kami menikmati makan tengahari bersama walaupun isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris mengajak baginda melawat anakanda mereka, Tunku Abdul Jalil yang dimasukkan ke hospital kerana gering pada malam sebelum itu. Ikuti temu bual wakil NSTP, Datuk Jalil Abdul Hamid, Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Minarni Mat Saad dan Junita Mat Rashid.

Temuramah bersama dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto Yazit Razali

Soalan (S): Ramai yang bercakap Tuanku aktif dalam perniagaan. Apa Komen Tuanku?

Sultan Ibrahim (SI): Saya tak buat bisnes macam orang lain buat buat bisnes. Saya tak pergi ke pejabat. Saya tak mengendalikan mesyuarat. Saya tak ada mesyuarat agung (AGM). Saya ada orang kerja untuk saya, tetapi saya tahu apa bisnes saya, tetapi bukan uruskan perniagaan setiap hari. Nampak pelik jika saya duduk di pejabat dan adakan mesyuarat. Jadi saya hanya bagi arahan, serahkan kepada orang lain buat apa yang perlu. Adakah salah saya beli saham? Saya tanya awak, salahkah jika saya beli saham. Tidak salah jika saya beli saham. Sebagai contoh, Redtone, adakah saya duduk dalam lembaga pengarah. Tidak. Saya beli saham ketika keadaan (harga) baik, jika saya fikir boleh untung, saya jual saham itu. Pada saya, ia tak salah. Saya beli Berjaya Times Square sebab saya dapat pulangan daripada pelaburan. Bank adalah penjaga pelaburan saya. Jika pelaburan tidak menguntungkan, mereka akan nasihat saya tidak melabur. Saya lihat potensi... bila nampak potensi saya rebut peluang itu. Perniagaan saya... saya tak tender untuk hidroelektrik, pembinaan lapangan terbang, bina jalan... semua yang perlu campur tangan dengan orang lain.

S: Bagaimana dengan projek Forest City?

SI: Ini idea saya. Saya yang bawa Forest City masuk... mereka lihat dan mereka suka lokasi dan idea. Ia strategik. Mereka yakin dengan kerajaan saya. Mereka selesa di sini. Salahkah mereka melabur? Sekali lagi saya tanya... adakah ia salah? Gila jika bagi tahu mereka jangan melabur di sini. Ia bagi manfaat kepada peruncit, peluang pekerjaan, cukai pintu kepada kerajaan, pengangkutan awam. Orang ramai perlu rebut peluang ini. Anda tak rebut orang lain yang akan rebut.


Projek Forest City

S: Bagaimana dengan potensi limpahan daripada projek ini. Adakah ia besar?
SI: Ia sangat besar. Saya nasihatkan anda pergi ke pejabat Forest City. Mereka akan bagi taklimat dan maklumat mengenai projek itu. Saya pun tak pernah pergi dan tak tahu di mana pejabatnya... tapi (potensi) sangat besar .

S: Bolehkah kita kata Tuanku bukan ahli perniagaan sebenar seperti peniaga lain?

SI: Bukan, saya bukan seperti ahli perniagaan biasa. Saya beli saham... saya jual saham tetapi saya bukan remisier. Saya kaji mengenai saham. Saya rebut yang baik dan ada potensi. Sebagai contoh, Tanjung Puteri... saya bawa projek R&F. Ada orang nak Tanjung Puteri percuma. Nak guna untuk suntik dana sebuah syarikat besar di bursa saham. Penilaian dibuat untuk Tanjung Puteri. Saya masuk dan bayar kepada kerajaan, melebihi harga pasaran yang kerajaan tidak mampu tolak (kerana harga yang tinggi). Selepas itu saya buat usaha sama. Saya tak ambil percuma. Saya nak bagi wang pada kerajaan, itulah sebab saya bayar.

S: Berapa harga yang diminta oleh kerajaan?

SI: Jika berdasarkan harga ketika itu, ia tak banyak. Tak sampai pun seratus juta lebih.



S: Tuanku bayar dua kali ganda?

SI: Sila tulis saya senyum ketika jawab soalan ini. Ya... memang.

S: Ini kerana Tuanku mahu wang itu kembali kepada rakyat?

SI: Apabila angkanya menjadi RM4.5 bilion. Biar saya jelaskan bagaimana angka ini diperoleh. Saya memiliki 30 peratus kepentingan dalam syarikat. Syarikat mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM100 bilion. Dalam kebiasaan industri, anda sekurang-kurangnya boleh menjana pulangan antara 20 hingga 25 peratus. Jadi kiraan asasnya, 30 peratus (kepentingan) daripada 20 peratus (pulangan) berjumlah RM6 bilion. Itulah keuntungannya, dalam tempoh 10 tahun jika dilihat daripada GDV. Bagaimanapun, saya tidak mahu menunggu selama 10 tahun.

Adakah saya boleh mengetahui pasaran akan menjadi lemah? Saya tidak tahu. Apa akan terjadi jika syarikat usaha sama itu mula membuat pelarasan angka. Pada akhirnya anda tahu keuntungan boleh dilaraskan. Saya tidak mahu mengambil risiko. Bayar saya pendahuluan keuntungan dan saya akan beri diskaun RM1.5 bilion. Dari situlah angka RM4.5 bilion diperoleh. Saya tidak menjual, tetapi mengambil pendahuluan keuntungan. Fahami itu dengan betul. Kemudian, semua orang berfikir inilah cara di Johor. Salah... mereka salah. Anda tidak boleh menilai RM900 untuk setiap kaki persegi. Sekarang, adakah terdapat sebarang kesalahan dalam apa yang saya lakukan? Saya tidak melobi anda, tidak melobi sesiapa. Siapakah yang saya lobi? Tiada siapa. Malah, pergi ke kementerian pun tidak.

S: Ramai yang tidak mengetahui Tuanku bagi semula wang kepada kerajaan bagi digunakan untuk pembangunan negeri?
SI: Saya bagi kepada kerajaan RM845 juta. Tidak ada yang cakap mengenainya. Premium dan harga tanah pergi kepada kerajaan. Kenapa kerajaan saya sekarang mendapat lebihan (Bajet)? Akan datang lebih banyak. Ada datang dari China jumpa saya mereka nak bawa syarikat Alibaba Group (syarikat e-dagang dari China milik Jack Ma, salah seorang terkaya di negara itu) ke Johor dan negeri ini akan jadi pengedar utama untuk Asia Pasifik. Apa yang anda fikir? Saya akan ada pejabat di Pasir Gudang? (ketawa). Saya cakap begini dan inilah cara saya.

S: Bagaimana pula dengan Johor Premium Outlets (JPO) ?

SI: Kita tak bawa masuk (produk) macam JPO. Kita akan jadi hab teknologi. Hab teknologi berurusan tanpa peruncit macam JPO. Semua barangan premium. Mereka ada pusat sendiri. Mereka lebih baik daripada Amazon.com. Fahami betul-betul cara saya berniaga... bukan seperti yang orang lain kata (kononnya) Sultan orang berniaga.. buat bisnes. Mereka iri hati.



S: Kenapa perlu tambak tanah untuk bangunkan Forest City. Ada banyak tanah di Johor. Apa alasan utama menambak laut?

SI: Lebih mudah tambak untuk pembangunan. Di darat kita perlukan pengambilan tanah. Kawasan tanah baru lebih mudah untuk perancangan. Jajaran (pembinaan) jalan semua mudah. Jika daratan tidak banyak kawasan yang dikelilingi air.

S: Tuanku, tetapi timbul isu alam sekitar?

SI: Ramai yang iri hati. Ia dipolitikkan... mereka dengki. Mereka hanya mahu menyukarkan kita. Pemaju lain buat satu lapisan, tetapi Forest City buat tiga lapisan. Mereka juga patuh pada peraturan tak kira berapa kos walaupun sehingga tiga kali ganda.


Temuramah bersama dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto Yazit Razali

SULTAN Ibrahim ketika ditemuramah bersama Abdul Jalil (tiga dari kiri), Ahmad Zaini (dua dari kanan), Pengarang Foto Kumpulan NSTP, Kamaruddin Ahmad; Minarni (kiri) dan wartawan New Straits Times, Jassmine Shadiqe di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto Yazit Razali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan